Rizanizam Abdul Hamid

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman dan bekas keraninya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 dua tahun lalu.

Hasan, 57, dan Khuzaimah Abdullah, 34, masing-masing yang dihadapkan 34 pertuduhan secara berasingan membuat pengakuan tidak bersalah atas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan tuduhan pertama hingga ke-34, tertuduh didakwa melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS 2016 dengan menandatangi 34 cek untuk projek ternakan rusa, tanaman pisang dan sayur-sayuran gantian cili dan jagung yang tidak diterima penerima projek berkenaan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu Khuzaimah yang juga bekas kerani JAPERUN turut berdepan 34 pertuduhan atas dakwaan sama bersubahat dengan wakil rakyat berkenaan untuk melakukan pecah amanah melibatkan nilai dan tempoh masa sama.

Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gam Peng Kun, menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin dan pasport perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Hamidi Mohd Noh dan Mohd Haziq Zali yang mewakili Hassan manakala Khuzaimah diwakili peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin tidak membantah berhubung jaminan itu.

Mohd Nasir kemudian pada penghakimannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan passport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 20 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:01 PM
MELAKA 09 JULAI 2019. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas 34 pertuduhan pecah amanah dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjumlah RM318,400 dua tahun lalu. Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membenarkan Hasan dijamin RM50,000 dan mengarahkan passportnya diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan tarikh 20 Ogos sebagai sebutan semula kes. NSTP/RASUL AZLI SAMAD