Hazira Ahmad Zaidi


“SEJAK kemalangan dua tahun lalu, saya kehilangan sebelah kaki kiri daripada paras lutut dan sejak itu isteri terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” kata Tengku Ridzwan Tengku Musa, 30.

Menurutnya, isterinya, Asma Hasrina Osman, 26, kini mengambil alih tanggungjawabnya bekerja sebagai tukang sapu di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu dengan pendapatan RM1,100 sebulan.

Katanya, sebelum terbabit dalam kemalangan, dia bekerja sebagai kontraktor di salah sebuah syarikat telekomunikasi untuk menyara tiga anaknya yang berusia antara tiga hingga lapan tahun.

“Kemalangan di Kampung Raja, Terengganu pada 10 Mac 2017 mengakibatkan saya mengalami patah tulang pinggul, kerosakan saraf serta patah tangan kiri selain kaki kiri terpaksa dipotong daripada paras lutut ke bawah.

“Pada mulanya saya sangat sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa diri apatah lagi memikirkan anak-anak yang semakin membesar, namun isteri sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya dan tidak menyalahkan takdir di atas apa yang sudah berlaku.

“Mujurlah isteri sanggup hidup susah dan senang bersama-sama. Bagi membantu meringankan bebannya, saya menguruskan segala keperluan anak di rumah sementara dia keluar bekerja mencari rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaacob, menyerahkan kerusi roda kepada Tengku Ridzwan ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkeso Kelantan, Wan Izani Wan Isa.

Dalam pada itu, Tengku Ridzwan dan seorang lagi pesakit angin ahmar, Azmi Mohd Zain, 44, dibawa ke Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC) Melaka untuk menjalani pemulihan fizikal secara intensif selama tiga bulan.

Tengku Ridzwan berkata, dia bersyukur akan menerima kaki palsu dan kosnya akan ditanggung oleh Perkeso.

“Saya berterima kasih kepada Perkeso dengan bantuan ini saya dapat kembali bekerja untuk menyara keluarga walaupun pergerakan mungkin sedikit terbatas berbanding sebelum ini,” katanya yang juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Sementara itu, Nora berkata, Tengku Ridzwan adalah salah seorang Orang Berinsurans (OB) yang menerima pencen ilat bulanan daripada Perkeso sebanyak RM556.50 seumur hidup selain faedah pemulihan.

“Jemaah Doktor menyarankan supaya Tengku Ridzwan menyertai Program Return Work (RTW) bagi menjalani rehabiltasi selain untuk persediaan pembekalan kaki palsu.

“Pada tahun lalu, seramai 63 pencarum dari Pencapaian Orang Berinsurans (OB) berjaya kembali iaitu, 15 daripadanya adalah Skim Keilatan dan 48 lagi Skim Bencana Kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:21 AM