Yusri Abdul Malek


LAWATAN atau ziarah luar adalah program yang ditunggu-tunggu jemaah untuk melawat tempat bersejarah terutama masjid yang ada kaitan langsung dengan perjuangan Nabi Muhamad SAW dalam memperjuangkan Islam.

Dalam ziarah pertama kelmarin bagi jemaah yang baru tiba, mereka dibawa melawat tinggalan sejarah Islam yang ada iaitu Masjid Quba, Bukit Uhud, Masjid Qiblatan dan Masjid Tujuh selain lawatan ke ladang kurma.

Pengurus Ibadah Madinah, Mohd Zamri Ramli berkata, penganjuran lawatan luar itu memberi peluang kepada jemaah melihat sejarah Islam yang ada di sekitar Madinah.

Lawatan ke Masjid Quba adalah yang paling ditunggu-tunggu kerana ia adalah masjid pertama didirikan Rasulullah SAW sebaik tiba dalam perjalanan hijrah dari Makkah pada 1 Hijrah atau 622 Masihi.

Malah masjid ini memiliki keistimewaannya tersendiri dan Nabi Muhamad SAW pernah bersabda dengan bermaksud: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan berwuduk dan kemudian mendatangi masjid ini, yakni Masjid Quba kemudian solat di dalamnya, maka pahalanya seperti ia mengerjakan satu umrah”.

Bagi jemaah, lawatan itu adalah peluang buat mereka dan tidak semata-mata tertumpu dalam menjalani ibadat wajib dan sunat di Masjid Nawawi.

Selesai menziarah semua lokasi yang sudah dijadualkan, jemaah dibawa melawat ladang kurma di Kebun Kurma Majid yang terletak tiga kilometer dari pusat bandar.

Di lokasi itu, jemaah boleh melihat lebih jelas pokok kurma berbuah. Menurut kakitangan ladang, terdapat lebih 20 jenis kurma ditanam dan dijual di ladang itu.

Katanya, kurma yang hanya ada di Madinah adalah kurma Ajwa atau dikenali dengan kurma Nabi.

Dijual pada harga RM45 sekilogram untuk gred terbaik, pokok kurma itu hanya tumbuh subur di sini dan tidak terdapat di kawasan atau negeri lain.

“Kami juga menyediakan taman khas dalam kebun kurma untuk jemaah mengetahui pokok kurma dengan lebih dekat,” katanya.

Kesempatan berada di kebun itu juga digunakan jemaah untuk membeli kurma segar sebelum mengirimkannya kepada ahli keluarga atau sanak saudara melalui perkhidmatan pos disediakan di hotel penginapan jemaah.

Sementara itu, rata-rata jemaah berpuas hati dengan program ziarah disediakan Tabung Haji(TH).

Seorang jemaah, Rustam Naim, 65, berkata lawatan itu memberi kesempatan kepadanya melihat masjid bersejarah dibina ketika Nabi masih hidup.

“Ini kali pertama saya ke tanah suci dan lawatan ini banyak memberi pengetahuan mengenai sejarah awal Islam.

“Banyak manfaat yang saya dapat dalam lawatan ini,” katanya.

Jemaah lain, Salim Azis, 46, berkata lawatan itu baik kerana jemaah boleh membuka minda melihat lebih dekat sejarah Islam di Madinah.

“Ziarah ini juga membantu mengukuhkan pengetahuan saya dan juga tidak semata-mata tertumpu kepada ibadah di Masjid Nabawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:03 AM
JEMAAH tidak melepaskan peluang membeli kurma segar di Kebun Kurma Majid, Madinah. FOTO YUSRI ABDUL MALEK
JEMAAH tidak melepaskan peluang membeli kurma segar di Kebun Kurma Majid, Madinah. FOTO YUSRI ABDUL MALEK