Mohd Radzi Bujang


“KETIKA kejadian, saya sedang menganyam ketupat yang ditempah pelanggan. Tiba-tiba, rumah kami runtuh,” kata Zemah Zaini, 63, yang rumahnya di Kampung Samariang Batu, Kuching, roboh, pada 3 Julai lalu.

Menurutnya, pada kejadian 8.45 pagi itu, salah seorang anaknya, Mohd Yusri Abdullah, 19, cedera selepas dihempap meja.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Bercerita lanjut, Zemah berkata, dia dimaklumkan bahawa kayu reput menjadi punca rumahya roboh.

Bagaimanapun katanya, mujur tiada kemalangan jiwa akibat kejadian berkenaan.

“Ketika ini, kami empat beranak menumpang sementara di rumah saudara berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Zon 7 Samariang Batu, Latip Morshidi, 49, berkata, usaha membina semula rumah keluarga Zemah, akan disegerakan dengan bantuan daripada penduduk kampung dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Penduduk akan mula merobohkan rumah esok dan akan membina kembali rumah keluarga Zemah di tapak sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:26 PM
ZEMAH tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan rumahnya. FOTO Mohd Radzi Bujang
ZEMAH tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan rumahnya. FOTO Mohd Radzi Bujang