SULTAN Ibrahim berkenan melukis imej ombak di kain batik sebagai gimik ketika menyempurnakan majlis perasmian Desaru Coast di Kota Tinggi, malam ini. GAMBAR Mary Victoria Dass
SULTAN Ibrahim berkenan melukis imej ombak di kain batik sebagai gimik ketika menyempurnakan majlis perasmian Desaru Coast di Kota Tinggi, malam ini. GAMBAR Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


PROJEK pelancongan bertaraf antarabangsa Desaru Coast dijangka mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Desaru sebagai destinasi pelancongan di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri Johor menyasarkan 16.6 juta pelancong sepanjang tahun ini dan 17.4 juta pelancong pada 2020.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Johor mencatatkan seramai 15.84 juta pelancong dari seluruh dunia dan kerajaan negeri akan memberi tumpuan sewajarnya terhadap sektor berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, penting untuk merancang pembangunan sekata dan menyeluruh bagi negeri ini. Manfaat ekonomi semestinya dikongsi bersama agar Johor dapat membangun secara seiring.

“Melihat kepada rancangan pembangunan sektor pelancongan di Johor yang juga antara penyumbang ekonomi terpenting, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pihak swasta untuk berganding bahu dalam membangunkan lebih banyak destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Desaru Coast di Kota Tinggi, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmian.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Chai Tung dan Pengerusi Desaru Development Holdings One Sdn Bhd (DH1), Datuk Ahmad Pardas Senin.

Dr Sahruddin berkata, Desaru Coast antara contoh paling sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dan popular di mata dunia.

Beliau berkata, dengan kerjasama pihak korporat membangunkan Desaru, ia secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada Desaru dan usaha itu menyaksikan ribuan peluang pekerjaan dicipta bagi anak muda tempatan dalam industri pelancongan.

“Selain itu, industri kecil tempatan turut mendapat impak positif dengan kehadiran pelancong luar ke Desaru. Kita lihat Desaru 10 tahun lalu, tawaran pelancongan amat terhad dan Desaru cukup terkenal sebagai hab pendidikan dengan adanya sekolah berprestasi tinggi, institut latihan kemahiran dan banyak lagi.

“Namun, Desaru mempunyai potensi cukup tinggi untuk membangun sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia dan lihat sahaja pantai Desaru yang indah dengan pemandangan cukup menarik,” katanya.

Dr Sahruddin berkata, komitmen tinggi Desaru Coast menyaksikan kawasan itu dibangunkan dengan cukup hebat dan lebih membanggakan, ramai anak muda tempatan diberikan peluang pekerjaan di hotel ternama seperti Hotel Hard Rock Desaru.

Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka untuk menyumbang kepada negara dan negeri Johor kelak.

“Pembukaan Desaru Coast dapat memberi nilai tambah kepada pendapatan rakyat khususnya penduduk negeri ini apabila sebanyak 1,700 peluang pekerjaan dibuka bagi fasa pertama pembangunannya.

“Malah, kira-kira 4,000 peluang pekerjaan lagi akan dibuka sehingga 2022 dan saya percaya, peluang ini pastinya akan direbut anak Johor yang menamatkan pengajian mereka, yang sedang mencari kerjaya di bidang baharu sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan belia Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:38 PM