JENAZAH Wan Muhammed Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, Machang. FOTO SYAMSI SUHAIMI
JENAZAH Wan Muhammed Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, Machang. FOTO SYAMSI SUHAIMI
Muhamaad Razis Ismail


JENAZAH Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, yang maut selepas terjatuh daripada lantai bas yang reput, pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, Machang, jam 10.10 malam.

Terdahulu, bedah siasat terhadap jenazah di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh selesai kira-kira 6.40 petang sebelum dibawa dan disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Kok Kiat.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar jam 9.45 malam untuk dikebumikan.

Kira-kira 100 anggota keluarga dan penduduk kampung turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Turut kelihatan, ibunya, Nik Hasmani Mohamad, 44, dan bapa mangsa, Mohd Suria Ismail, 46.

Terdahulu, murid Tahun Enam itu terjatuh daripada bas yang sedang bergerak sebelum digilis tayar kenderaan itu menyebabkannya parah dan maut di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik, dekat Kandis, Bukit Yong, Pasir Puteh, jam 11.50 pagi hari ini.

Bas sekolah dinaiki 31 murid itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang ke Besut, Terengganu untuk mengikut Kursus Bahasa Inggeris.

Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu.

Secara tiba-tiba, mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas dan terus terjatuh ke bahagian bawah kerana berikutan lantai kenderaan itu sudah reput.

Berita berkaitan

Pilu kehilangan anak lelaki tunggal

[UPDATE] Mangsa dipercayai bermain dalam bas

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:13 PM