Nabihah Kamal


MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Kota Kinabalu mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas menerusi kategori Children Duet/Trio National Folklore dalam acara World Cup Dance 2019 di Altice Forum, Braga, Portugal, pada 28 Jun lalu.

Gandingan Muhammad Fakhrul Afif, 12, Ahmad Mikail Damsal Abdul Hakim, 12, dan Oscar Neil Gelibat, 10, dinobatkan juara menerusi tarian etnik tempatan, Nambuyunan.

Mohd Fakhrul Afif yang mempersembahkan tarian etnik Brunei turut memenangi pingat emas bagi Kategori Solo Children National Folklore dan dianugerahkan Outstanding Boy Award Gala Night Dance World Cup.

Guru Bahasa Inggeris sekolah berkenaan, Razalie Azizul atau lebih mesra disapa Sir Tom berkata, kerja keras muridnya serta sokongan padu sekolah membuahkan hasil.

“Terharu dan bangga kerana pihak sekolah bekerja keras bagi membiayai kos penerbangan dan penginapan mereka di sana.

“Pihak sekolah mengadakan konsert bagi meraih sumbangan untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Kos membabitkan lebih RM20,000. Oleh itu, kami adakan konsert selain mendapat sumbangan daripada orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

World Cup Dance 2019 adalah pertandingan tahunan pelbagai genre tarian dan disertai lebih 20,000 penari dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:01 PM
GANDINGAN Muhammad Fakhrul, Ahmad Mikail Damsal dan Oscar muncul juara menerusi tarian Nambuyunan. (Gambar kecil) Muhammad Fakhrul.
GANDINGAN Muhammad Fakhrul, Ahmad Mikail Damsal dan Oscar muncul juara menerusi tarian Nambuyunan. (Gambar kecil) Muhammad Fakhrul.