KEADAAN lantai bas yang berlubang sehingga meragut nyawa murid Tahun Enam. FOTO NOR AMALINA ALIAS
KEADAAN lantai bas yang berlubang sehingga meragut nyawa murid Tahun Enam. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan membuat siasatan terperinci berhubung kes kematian murid lelaki yang maut terjatuh daripada bas sedang bergerak di Kampung Kandis, Pasir Puteh, pagi tadi.

Pengarahnya, Abu Hanifah Zahari berkata, pihaknya akan memberi kenyataan media sebaik maklumat lengkap berhubung kejadian itu selepas diperoleh pihaknya.

Katanya, dia juga sudah memberi arahan supaya pegawainya mengambil segala maklumat daripada pihak sekolah, pengusaha bas dan pihak polis serta-merta.

“Sekarang ini, kita selesaikan dahulu urusan pengebumian murid dan akan keluarkan maklumat terperinci kejadian dalam masa terdekat.

“Cuma buat masa ini, saya tidak boleh komen banyak kerana perlu tahu cerita lengkap kejadian,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama beberapa kakitangan JPN hadir ke bilik mayat bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Wan Mohammed Adam maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak dipercayai akibat lantai bahagian hadapan bas yang reput.

Bas dinaiki 31 murid itu dalam perjalanan ke Besut, Terengganu untuk menghadiri bengkel Bahasa Inggeris.

Jenazah Wan Mohammed Adam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Belah, malam ini.

Berita berkaitan

Pilu kehilangan anak lelaki tunggal

[UPDATE] Mangsa dipercayai bermain dalam bas

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 9:32 PM