KEADAAN lantai berhampiran pintu hadapan bas yang berlubang. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN lantai berhampiran pintu hadapan bas yang berlubang. FOTO IHSAN PEMBACA
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MURID Tahun Enam yang terjatuh dari bas sekolah sebelum digilis tayar kenderaan itu dipercayai bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian pintu hadapan bas dan terus terjatuh ke bawah kerana bahagian lantai kenderaan itu reput.

“Kejadian jam 11.50 pagi ini menyebabkan murid terbabit, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis dan maut di lokasi kejadian.

“Bas sekolah ini dinaiki 31 murid Tahun Enam dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang ke Besut, Terengganu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis akan melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, bas itu tidak sepatutnya digunakan lagi kerana lantainya sudah reput.

“Pemandu bas mempunyai lesen, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada bas sekolah ini memiliki permit atau tidak.

“Kita minta pengusaha bas sekolah atau sewa khas jangan memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira soal keselamatan penumpang kerana membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Terdahulu, menurut sumber enggan dikenali, rombongan sekolah itu dalam perjalanan mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua hari.

Katanya, mangsa dipercayai berdiri bersama beberapa rakan di bahagian hadapan bas berhampiran tangga bas.

“Saya tiada di dalam bas ketika kejadian dan hanya dimaklumkan kejadian berlaku kerana tangga bas reput.

“Murid lain mendakwa ada lubang di laluan bahagian hadapan bas namun tidak pasti ditutup dengan apa,” katanya.

Mayat mangsa kini berada di Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat selain ahli keluarga juga sudah berada di hospital.

Berita berkaitan

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:26 PM