TAJUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAJUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


“DIA nak gantung, gantunglah. Gantung sampai mati pun saya tak kisah, saya bebas bila nak masuk,” tegas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang digantung dari menghadiri Sidang Dewan Rakyat, selama empat hari, mulai hari ini tidak peduli akan tetap hadir pada sidang dewan selepas ini.

Malah beliau menyifatkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menyifatkan keputusan itu belum dikuatkuasakan.

“Nak gantung satu, dua, empat, 10 hari. Tidak ada gantung, tak diputuskan. Dia (Nga) cuba tapi keputusan itu tak dikuatkuasakan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum itu, Nga mengarahkan Tajuddin keluar dewan dan menggantung kehadirannya selama empat hari kerana melanggar Peraturan Mesyuarat tidak mematuhi arahan Yang di-Pertua.

Dalam pada itu, Tajuddin mendakwa Nga sebagai anti-Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kerana melarangnya bertanyakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.

“Isunya Yang di-Pertua halang Ahli Parlimen tanya soalan bagi pihak rakyat, sama ada saya tidak berkelakuan baik atau tidak, itu pada mata dia, tetapi pada mata rakyat tidak.

“Ahli-ahli Parlimen DAP sengaja nak ‘provok’, mengejek saya. Adakah itu kelakuan yang baik? Kalau DAP semua bagus, kalau UMNO dan BN tak bagus. Kenapa Yang di-Pertua tak tegur, tak nasihatkan mereka. Nak jadi Yang di-Pertua kena ‘neutral’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 1:20 PM