Mohd Sabran Md Sani


SEMUA pihak termasuk organisasi media yang terbabit dalam sebarang operasi pencemaran toksik perlu mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peraturan itu termasuk menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai ketika bertugas.

Katanya, mengambil isu terkini, amat malang apabila ada antara petugas termasuk dari organisasi media turut menjadi mangsa ketika berada di kawasan tercemar.

“Kes sebegini seharusnya menjadi peringatan kepada organisasi media mengenai risiko yang dihadapi petugas ketika berada di lapangan.

“Justeru pihak majikan perlu menyediakan PPE yang sesuai sebelum menghantar wartawan dan jurugambar ke lokasi terbabit,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke atas jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohd Azren Jamaludin, 33, yang dimasukkan ke wad akibat Influenza B di sebuah hospital swasta di Johor Bahru hari ini.

Mohd Azren, 33, dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.

Dia yang ditugaskan membuat liputan isu pencemaran udara sejak seminggu lalu, kini masih di bawah pengawasan doktor kerana turut disahkan dijangkiti virus Influenza B.

Katanya, soal keselamatan seharusnya menjadi keutamaan termasuk dalam kalangan petugas media.

Lee yang juga Ahli Lembaga Pengarah NSTP berkata, ketika kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim Mac lalu, beliau dimaklumkan lima petugas media turut menerima kesan termasuk dimasukkan ke hospital.

Beliau menasihatkan mereka yang ingin ke lokasi pencemaran mendapatkan nasihat pakar termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan NIOSH mengenai PPE yang sesuai digunakan.

“Ia termasuk jenis topeng keselamatan dan respirator yang mampu menapis udara tercemar dengan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 8:47 PM
Lee melawat Mohd Azren yang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Lee melawat Mohd Azren yang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed