KEADAAN lori pasir yang mengundur dan merempuh kaunter PUSPAKOM di Senawang. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN lori pasir yang mengundur dan merempuh kaunter PUSPAKOM di Senawang. FOTO IHSAN PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


TIGA pemandu lori cedera selepas sebuah lori pasir mengundur dan merempuh kaunter Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Senawang, hari ini.

Tiga mangsa yang cedera ialah Muhammad Afiq Ismail, 24; G Poovalingam, 39, dan Rustam Sakka, 31.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kejadian berlaku jam 2.30 petang selepas kenderaan itu selesai menjalani pemeriksaan.

“Siasatan mendapati pemandu lori menghidupkan enjin sebelum kenderaan mengundur lalu merempuh pejabat kaunter PUSPAKOM.

“Rempuhan menyebabkan cermin pejabat pecah lalu terkena tiga mangsa yang berada di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibrahim berkata, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:49 PM