DR Mahathir. FOTO Arkib NSTP
DR Mahathir. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan belum memuktamadkan pengambilan pekerja asing dari Afrika.

Beliau berkata, cadangan kerajaan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang masih di peringkat cadangan.

“Saya berpendapat bahawa orang di Malaysia ini ramai, tak payah bawa masuk orang asing tetapi orang Malaysia tak mahu kerja, kita bagi semua dekat orang lainlah.

“Berkenaan cadangan (pengambilan pekerja asing dari Afrika) itu kita belum buat pemilihan apapun, cadangan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), hari ini.

AKSI bersahaja Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah ketika menikmati sepotong kek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi, hari ini. FOTO BERNAMA
AKSI bersahaja Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah ketika menikmati sepotong kek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi, hari ini. FOTO BERNAMA

Yang turut hadir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengadakan satu pelan supaya penduduk di penempatan setinggan Bukit Malut di Langkawi ditempatkan di penempatan yang lebih teratur.

Menurut beliau, pelan itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada penduduk, malah mampu menyelesaikan masalah sosial lain yang timbul hasil persekitaran kawasan itu.

“Kita tahu ini bukan penduduk tempatan, mereka datang dari tempat lain tidak ada rumah jadi mereka dirikan rumah sendiri. Tidak elok rumah setinggan ini kita akan buat perancangan untuk menempatkan mereka dalam rumah yang lebih sempurna.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pun dah keluarkan kenyataan, kita akan susul dengan mengadakan satu pelan untuk nak atur supaya mereka tinggal dalam rumah yang lebih teratur,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima, membabitkamn imam, bilal dan kanak-kanak.

Kira-kira 10,000 penduduk sekitar Langkawi hadir memeriahkan majlis itu.

Ketika ditanya sama ada pelan itu bakal menyelesaikan masalah sosial yang turut dilaporkan berlaku di kawasan Bukit Malut, Dr Mahathir yakin perkara berkenaan dapat ditangani.

“Yalah kalau kita dapat betulkan rumah, kita boleh selesaikan masalah sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 7:09 PM