Mohd Hafizee Mohd Arop


MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) mempelawa peniaga durian untuk berniaga di kawasan parkir Stadium Indera Mulia di Ipoh sekali gus memastikan penggemar ‘raja buah’ itu dapat menikmatinya di lokasi yang lebih strategik dan selamat.

Ia susulan rampasan dilakukan MBI kelmarin terhadap lima peniaga durian yang berniaga di Jalan Simpang Pulai berhadapan Gerai Limau Tambun yang menyebabkan berlaku kesesakan.

MBI dalam kenyataannya berkata, kaunter sementara akan dibuka di Stadium Indera Mulia bagi memudahkan peniaga durian mendapatkan permit untuk berniaga di lokasi itu.

“Peniaga durian di sekitar bandar raya ini akan ditempatkan di kawasan letak kereta Stadium Indera Mulia bagi memudahkan orang ramai membeli dan menikmati durian di lokasi yang lebih strategik dan selamat.

“Sehubungan itu, MBI mempelawa peniaga durian untuk berniaga di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peniaga yang berminat boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Penjaja di talian 05-2083297 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan MBI menyita lima gerai peniaga durian di Jalan Simpang Pulai berhadapan Gerai Limau Tambun, susulan peniaga berdegil dan tidak menghiraukan arahan berpindah yang dikeluarkan.

Turut disita sebuah gerai menjual air minuman yang turut berniaga di laluan tepi jalan raya utama hingga mengakibatkan kesesakan lalu-lintas.

Rampasan itu dilakukan selepas penguat kuasa sudah memberikan amaran sebanyak dua kali iaitu pada 18 serta 20 Jun lalu supaya peniaga berpindah dan menjalankan perniagaan mereka di lokasi lebih sesuai.

Berita berkaitan

Gerai durian tak hirau arahan disita

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 11:12 AM