Shamsul Munir Safini


MERAJUK kerana permintaan tidak dituruti, seorang lelaki, 34, bertindak mengugut bapa kandungnya berusia 62 tahun dengan menggunakan pisau belati di Kuala Muda, kelmarin.

Dalam kejadian 7 malam di rumah bapanya itu, suspek bertindak meletakkan pisau belati di leher dan dada kiri lelaki berkenaan selain mengacukan pisau ke arah ibunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berkenaan berang dan merajuk selepas bapanya tidak mahu memujuk bekas isterinya yang meninggalkannya beberapa bulan lalu.

“Dia kemudian bertindak mengugut bapanya menggunakan pisau dan mengacukan senjata itu kepada ibunya selepas ditegur kerana bertindak sedemikian.

“Suspek kemudian mencampak pisau itu ke arah kaki ibunya sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, dua adik perempuan suspek juga berada di lokasi kejadian sebelum mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

Susulan itu, polis yang memburu suspek berjaya menahannya di Kuala Muda, jam 5 petang semalam.

“Hasil ujian saringan air kencing suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:51 AM