Siraj Mohd Zaini


SEBANYAK 31 kawasan di Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas paip utama berukuran 1,050 milimeter dari Kolam Terminal Bukit Jelutong ke Kolam Lipat Kajang bocor, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, kebocoran paip utama itu berlaku berhampiran Dataran Automobil, Persiaran Selangor, di Seksyen 15, disebabkan kerja pihak ketiga.

“Susulan kebocoran itu, sebanyak 31 kawasan dengan jumlah akaun berdaftar sebanyak 99,454 akaun akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Insiden ini juga mengakibatkan pengurangan sebanyak 70JLH (juta liter sehari) ke Kolam Air Lipat Kajang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan segera, dengan sasaran kerja pembaikan disiapkan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat dan status terkini.

Senarai kawasan terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan rendah adalah Ambang Botanic, Johan Setia, Taman Klang Jaya, Bayu Perdana, Kem Rimba (Shah Alam), Taman Palm Grove, Bayu Tinggi, Kampung Raja Udan Taman Petaling Indah, Bayumas, Pandamaran, Taman Radzi, Bandar Botanic.

Persiaran Raja Muda Musa, Taman Selatan, Bandar Bukit Tinggi 1, Taman Bijaya Kampung Jawa, Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi 2, Taman Chi Liung, Taman Sri Andalas, Bandar Parkland, Taman Desawan, Taman Summit (Shah Alam), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Taman Gembira, Teluk Gadong Besar, Jalan Klang Banting, Taman Intan (Shah Alam), Teluk Gadong Kecil dan Jalan Raja Nong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:47 PM