Guan Eng menyampaikan cek kepada A Samad di majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Putrajaya, hari ini. Foto Fadli Hamzah
Guan Eng menyampaikan cek kepada A Samad di majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Putrajaya, hari ini. Foto Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


KERAJAAN bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan sebanyak RM5,000 kepada Sasterawan Negara bermula bulan ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun berkenaan bagi tujuh Sasterawan Negara.

Menurutnya, mereka itu terdiri daripada Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

“Pemberian elaun penghargaan secara bulanan ini adalah elaun tambahan baru yang diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka kepada membina bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada Sasterawan Negara ini agar dapat terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya ketika berucap di majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Guan Eng, beliau juga berharap pemberian berkenaan dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni dengan dengan cemerlang dan menunjukkan penekanan terhadap sastera dan bahasa daripada semua lapisan masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, bayaran elaun kepada Sasterawan Negara itu akan diteruskan untuk tahun berikutnya.

“Sekiranya ada lagi pertambahan senarai Sasterawan Negara selepas ini, mereka juga akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM5,000 ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, selain memacu pertumbuhan negara, kerajaan dituntut untuk memperkasa pelbagai bidang termasuk bahasa, sastera dan budaya.

Menurutnya, beliau berbangga terhadap inisiatif Kementerian Kewangan yang meluluskan Elaun Penghargaan Bulanan RM5,000 kepada Sasterawan Negara.

“Bila negara memberikan pengiktirafan ini, ia adalah satu penghargaan daripada kerajaan kepada sumbangan sasterawan.

“Namun tidak hanya cukup sekadar diberikan anugerah, jika tidak dipastikan anak dan rakyat menjadi khalayak yang membaca serta meminati karya mereka,” katanya.

Bagi A Samad pula, pemberian elaun itu diharapkan tidak akan mematikan jasa sasterawan sebaliknya akan terus menyuburkan sumbangan mereka kepada negara.

“Saya fikir pihak kerajaan selama ini maksud saya yang lalu, tidak memperhatikan peranan sasterawan sangat penting.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan dengan pemberian ini dan saya tahu Datuk Seri Anwar sangat mengambil berat terhadap nasib sasterawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:29 PM