TUKUN bebola tiruan yang ditanam sepanjang perairan pantai Sarawak dari Tanjung Datu di Kuching sehingga utara di Lawas. FOTO KANDAU SIDI
TUKUN bebola tiruan yang ditanam sepanjang perairan pantai Sarawak dari Tanjung Datu di Kuching sehingga utara di Lawas. FOTO KANDAU SIDI
Kandau Sidi


SEJUMLAH 7,500 tukun bebola tiruan sudah ditanam di perairan pantai Sarawak sejak projek berkenaan diperkenalkan 20 tahun lalu.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, tukun tiruan itu ditanam sepanjang perairan pantai Sarawak dari Tanjung Datu di Kuching sehingga ke utara negeri ini iaitu di Lawas.

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil untuk memastikan khazanah marin dan alam semula jadi di perairan Sarawak dijaga dengan baik dan tidak diancam kemusnahan.

“Projek ini terbukti berjaya membiakkan khazanah marin dan menyelamatkan populasi penyu daripada mengalami kepupusan,” katanya pada Majlis Pelancaran Penanaman Tukun Di Persisiran Pantai Lawas di Kampung Punang, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sebanyak 600 biji tukun bebola tiruan ditanam di 20 lokasi berbeza di sepanjang perairan Kuala Trusan hingga Kuala Lawas.

Talif berkata, projek tukun bebola tiruan berjaya memberi kesan positif dengan meningkatkan ekonomi komuniti nelayan yang menetap di sepanjang tepi pantai di Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan projek yang mempunyai kesan positif dan memperkayakan sumber marin serta ekonomi penduduknya.

Sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak turut mengumumkan peruntukan RM70 juta bagi meneruskan projek yang menguntungkan rakyat khususnya komuniti nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 12:13 PM