GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


HARGA ditawarkan mencecah sehingga RM200 dan promosi kegiatan mereka pula dibuat melalui aplikasi media sosial.

Itu dilakukan sekumpulan empat wanita warga Thailand yang mencari pendapatan dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka di hotel bajet di Butterworth.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila polis melakukan serbuan dan semua pelacur terbabit ditahan, semalam ketika mereka dipercayai baru mahu menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua wanita berusia 22 hingga 30 tahun itu ditahan dalam Op Noda dalam serbuan pada 1 tengah hari.

Menurutnya, operasi itu diketuai Inspektor Norliana Wisli bersama lapan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas melakukan risikan mengenai kegiatan tidak bermoral kumpulan wanita warga asing berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik hotel berkenaan menemui tujuh gulung tisu, 42 keping kondom pelbagai jenama, tiga botol gel pelincir dan sebuah buku catatan serta sejumlah wang tunai.

“Kami turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan aplikasi media terpapar nama samaran pemilik akaun disyaki terbabit dengan urusan kegiatan pelacuran.

“Sindiket ini dipercayai mempromosikan kegiatan mereka melalui aplikasi sosial dengan menawarkan harga sekitar RM150 hingga RM200 untuk sekali perkhidmatan seks,” katanya.

Noorzainy berkata, empat wanita warga Thailand yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:53 PM