FOTO tular mengenai kejadian anak kucing dipercayai dibunuh kejam.
FOTO tular mengenai kejadian anak kucing dipercayai dibunuh kejam.
Nur Saliawati Salberi


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sudah melakukan siasatan berkaitan seekor anak kucing dikatakan dibunuh seorang individu di sebuah premis di Bukit Beruang, Melaka, yang tular di laman sosial.

Kejadian dikatakan berlaku Sabtu lalu kira-kira jam 7.30 pagi apabila haiwan itu ditemui mati dengan kesan darah pada mulut serta dinding premis.

Kematian kucing itu tular di laman sosial selepas dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mendakwa haiwan ini dibunuh seorang individu dipercayai wanita angkara rasa tidak puas hati.

Pengarah Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad berkata, sepasukan empat anggota JPV sudah ke premis yang didakwa berlakunya kejadian itu untuk siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, punca kematian kucing tidak dapat dipastikan kerana bangkai haiwan berkenaan sudah tiada.

“Kira-kira 11 pagi tadi, JPV sudah ke lokasi dan melakukan siasatan serta mendapatkan keterangan daripada beberapa individu.

“Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga dibuat tetapi tidak memperlihatkan tindakan itu dilakukan individu dimaksudkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, bangkai kucing ini sudah tiada dan dibuang ke sungai berdekatan dan hanya kesan percikan darah ditemui pada dinding premis.

“Pencarian bangkai haiwan itu di sungai tidak ditemui. Sekiranya ada kita boleh melakukan bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian,” katanya.

Aidi berkata, JPV akan menunggu siasatan polis memandangkan pemilik kucing sudah membuat laporan dan akan membantu.

“Tindakan mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati melakukan kezaliman terhadap haiwan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kucing itu dianggarkan berusia tiga bulan dan pemiliknya sudah tampil membuat laporan kira-kira jam 10.30 pagi.

“Kejadian hanya disedari pemilik kucing apabila ditegur pengurus premis makanan segera yang mengatakan haiwan peliharaannya sudah mati.

“Dia yang melihat rakaman CCTV mendapati terdapat seorang wanita menunggang motosikal Modenas Kriss berhenti dihadapan premisnya dan kemudian membuka laci gerai serta mencari sesuatu sebelum mengambil kucing terbabit dan membawanya ke kaki lima.

“Bagaimanapun, siasatan dilakukan mendapati tiada saksi yang melihat dan rakaman CCTV juga tidak menunjukkan suspek berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:00 PM