GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI berusia 19 tahun ditahan semalam selepas dipercayai merogol teman wanitanya berusia 16 tahun sehingga hamil sejak awal Februari lalu.

Dia ditahan di Taman Bandar Baru Kampar, Kampar selepas remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu membuat laporan polis di Balai Polis Tronoh Mines 5.53 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati hubungan mangsa dengan suspek diketahui keluarga dan mereka sudah merancang untuk berkahwin.

Katanya, mereka dipercayai menjalinkan hubungan sebagai kekasih sejak Januari 2017 dan kali pertama mengadakan hubungan seks awal Februari lalu.

“Mangsa membuat ujian kehamilan 3 Jun lalu selepas tidak datang bulan dan mendapati dirinya mengandung, melalui pengiraan sendiri dibuat mendapati dia sudah mengandung lima bulan.

“Laporan polis dibuat mangsa untuk merujuk kandungan berkenaan di hospital dan dibawa ke Hospital Kampar untuk pemeriksaan sebelum disahkan hamil lima bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, siasatan juga mendapati hubungan seks dilakukan suspek dengan mangsa adalah tanpa paksaan kerana beranggapan dalam perancangan untuk berkahwin.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 2:35 PM