Zuliaty Zulkiffli


KANAK-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dirempuh Proton Saga FLX ketika melintas jalan bersama abangnya di hadapan kedai serbaneka di Jalan Sungai Petani-Baling, Sungai Petani kelmarin.

Kejadian berlaku 6.30 petang ketika Nur Danish Afiq Nur Azril, 5, melintas jalan mini tar di kawasan berkenaan menuju ke kedai serbaneka yang terletak di seberang jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, siasatan awal mendapati mangsa melintas secara tiba-tiba menyebabkan kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu tidak sempat membrek dan merempuhnya.

Beliau berkata, abang mangsa sempat menyeberang jalan dan tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAS) di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia 10.20 malam tadi selepas hampir 24 jam menerima rawatan.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Ops Selamat di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di Alor Setar hari ini.

Chuah berkata, jalan lokasi kemalangan itu jarang dilalui kenderaan kerana kawasan mini tar kampung dan rumah mangsa dikatakan berada di tepi jalan.

Beliau berkata, berikutan itu, pemandu kereta itu yang berasal dari Sungai Petani ditahan untuk diambil keterangan manakala keretanya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati dia bebas dari pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 1:14 PM