GAMBAR mangsa yang tular dipercayai dipukul suspek menggunakan batang besi di pasar menjual buah-buahan di Pekan Ranau. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR mangsa yang tular dipercayai dipukul suspek menggunakan batang besi di pasar menjual buah-buahan di Pekan Ranau. FOTO Ihsan Pembaca
Recqueal Raimi


ORANG awam yang berada di lokasi diminta tampil memberi kerjasama untuk membantu siasatan susulan rakaman video seorang lelaki dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Pekan Ranau yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superitenden Mohd Sharull Abdul Wahab mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu lelaki berusia 28 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Katanya menurut laporan, pada 12.15 tengah hari, mangsa yang juga pengadu sedang melalui kawasan belakang kedai dan melihat sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan Perodua Viva berwarna putih yang seolah-olah bertindak mahu menyerang sekumpulan lelaki lain.

“Sebaik menyedari perkara itu, mangsa cuba menjauhkan diri dengan melarikan diri menuju pasar buah-buahan.

“Mangsa yang penat berlari kemudian berhenti untuk berehat, namun tiba-tiba dipukul dua lelaki warga asing menggunakan batang besi berukuran 41 sentimeter,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Sharul berkata, mangsa mendakwa dipukul sebanyak tiga atau empat kali di bahagian belakang kepala serta badan sebelum mangsa berjaya merebut batang besi berkenaan, manakala kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa dirawat di Hospital Ranau dan menerima enam jahitan di bahagian belakang kepala,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati beberapa individu lain bertindak melarikan diri.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta berhubung pegawai penyiasat di talian 013-2956467 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Mohd Sharul dalam pada itu turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat spekulasi atau bertindak sendiri berhubung kejadian itu.

Terdahulu, beberapa rakaman video berhubung kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 9:48 AM