MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) hadir di majlis pengebumian Ustaz Ku Yaakob di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory. FOTO Ihsan pembaca
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) hadir di majlis pengebumian Ustaz Ku Yaakob di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory. FOTO Ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


“ORANG yang menggali kubur arwah Ustaz Ku Yaakob Ku Hasim semalam memberitahu sewaktu proses menggali, mereka terasa seolah-olah berada dalam ruang sejuk yang ada pendingin hawa dan selesa,” kata Nasir Abbas, 64.

Nasir ialah jiran Allahyarham Ku Yaakob yang meninggal dunia di Masjid Al Bukhary, Jalan Langgar selepas rebah sewaktu membacakan khutbah Jumaat semalam.

Dia yang tinggal di Taman Mutiara, Jalan Sultanah berkata, walaupun berjiran namun dia tidak sempat beraya di rumah Allahyarham kerana sibuk dengan urusan masing-masing.

“Cuma semalam ketika solat Jumaat, saya berada di saf hadapan dan mendengar khutbah dibacakan arwah sebelum dia rebah.

“Agak sedih bila dimaklumkan arwah meninggal dunia sejurus selepas itu tetapi cemburu apabila dia dijemput Ilahi dalam keadaan suci di rumah Allah,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Nasir yang juga Imam Surau Al Hijrah, Kuala Kedah berkata, dia sudah lama mengenali Allahyarham Ku Yaakob kerana anak mereka berkawan baik sejak sekolah.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Ghozali Omar, 53, berkata, wajah Allahyarham juga berseri-seri ketika dikafankan seolah-olah sedang tidur.

Katanya, Allahyarham beruntung kerana meninggal dunia dalam keadaan sedang membaca khutbah sehingga mendapat liputan meluas di media.

“Ramai yang mendoakan rohnya dicucuri rahmat Allah dan arwah beruntung kerana didoakan ramai orang termasuk yang tidak mengenalinya.

“Bukan senang nak meninggal seperti arwah kerana hanya insan yang terpilih saja yang dapat,” katanya.

Ghozali berkata, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Bukhory, jam 6 petang semalam.

“Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang turut hadir di majlis pengebumian arwah semalam.

“Selain itu, lebih 100 orang termasuk jemaah masjid, sanak saudara serta sahabat handai menghadiri majlis pengebumian itu,” katanya.

Berita berkaitan

Rebah ketika membaca khutbah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 2:34 PM