Suffian bergambar bersama Willian selepas menghantar makanan yang dipesan di Plaza Sungai Wang. FOTO Facebook
Suffian bergambar bersama Willian selepas menghantar makanan yang dipesan di Plaza Sungai Wang. FOTO Facebook
Nur Lela Zulkipli


BERKAT kesabaran menghantar makanan kepada pelanggan ketika hujan lebat dan ribut petang kelmarin, kisah pemandu Grabfood, Suffian Hadi menjadi tular di media sosial apabila diberikan tip RM200 daripada pelanggannya.

Suffian berkata, pada 5.30 petang 4 Jun lalu, dia hanya menerima satu pesanan makanan daripada pelanggan untuk dihantar ke Plaza Sungai Wang di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia tetap membawa Grabfood pada ketika umat Islam sibuk membuat persiapan raya kerana terdesak dan memerlukan wang kira-kira RM300 sebagai belanja raya.

“Sedang saya pusing (menunggang motosikal) mencari pesanan penghantaran, tiba-tiba masuk satu pesanan daripada Pavillion ke Plaza Sungai Wang. Namun, ketika itu hujan lebat dan saya tiada baju hujan sebab kena curi.

“Saya maklumkan kepada pelanggan yang bernama William bahawa saya akan terlewat dalam masa sejam kerana cuaca agak teruk dan dia tidak kisah dan boleh tunggu sehingga saya sampai.

“Bagaimanapun, saya teruskan perjalanan saya dalam keadaan hujan kerana memikirkan William masih belum makan tengah hari, tambahan pula dia memaklumkan hanya makan biskut sementara tunggu saya hantar makanan yang dipesan.

“Dalam pada itu, William juga kasihan terhadap saya dan enggan membatalkan pesanan berkenaan,” katanya dalam catatannya di akaun Facebooknya.

WANG RM200 yang diberikan William kepada Suffian. (Gambar kanan) Makanan yang dipesan menggunakan perkhidmatan Grabfood yang dihantar Suffian. FOTO Facebook
WANG RM200 yang diberikan William kepada Suffian. (Gambar kanan) Makanan yang dipesan menggunakan perkhidmatan Grabfood yang dihantar Suffian. FOTO Facebook

Menceritakan semula, selepas menghantar makanan berkenaan, Suffian berkata, William mengajaknya masuk ke dalam kedai cermin mata tempat dia bekerja dan menyerahkan resit kepada pemandu Grabfood berkenaan.

“Pada awalnya saya hairan mengapa William berikan saya resit, namun rupa-rupanya dalam resit berkenaan ada gulungan wang sebanyak RM200.

“William beri wang berkenaan sebagai sedekah untuk belanja raya dan masa itu saya rasa macam nak sujud syukur saja. Hanya Allah SWT yang tahu betapa bersyukurnya saya.

“William juga terus peluk saya dan banyak kali cakap bahawa dia faham kerja sebagai pemandu Grabfood yang susah dan berisiko sedangkan ketika itu baju saya basah lencun disebabkan hujan,” katanya.

Menurut Suffian, selepas menghantar makanan berkenaan, pesanan makanan masuk bertalu-talu sehingga jam 10 malam.

“Alhamdulillah pulangan pada malam raya melebihi apa yang saya perlukan nak pakai.

“Melalui pengalaman ini, saya belajar supaya sentiasa ikhlas dalam pekerjaan kita kerana rezeki itu Allah sudah tentukan. Jangan putus asa, mudah mengalah dan doa,” katanya.

Suffian turut menasihatkan supaya jangan terlalu cepat menilai sikap seseorang daripada bangsa, tetapi nilailah dari segi pendirian yang lebih penting.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 4:15 PM