KEADAAN trafik semasa. FOTO Ihsan Lembaga Lebuhraya Malaysia
KEADAAN trafik semasa. FOTO Ihsan Lembaga Lebuhraya Malaysia
Amir Abd Hamid


ALIRAN trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dilapor sedikit sesak sehingga jam 4 petang tadi.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad Mohd Yusof Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, berlaku kesesakan laluan selatan antara persimpangan Putra Mahkota hingga kawasan perhentian rehat (RSA) Seremban.

“Sementara, aliran trafik ke utara masih lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan sejak awal pagi tadi.

“Laluan lain di Lebuh Raya Utara-Selatan masih lancar dan terkawal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna kenderaan khususnya penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati.

Ini kerana, katanya, peningkatan data kemalangan membabitkan penunggang motosikal sepanjang tahun adalah membimbangkan.

Sementara, Ketua Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Husain Osman berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah dilapor lancar sehingga 4 petang tadi.

Namun, katanya, trafik perlahan dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) ke Plaza Tol Gombak.

“Selain itu, dari Gombak ke Genting Sempah sebelum terowong juga aliran trafik perlahan.

“Di laluan Lentang ke Bentong pula terdapat kesesakan apabila berlaku kemalangan jalan raya di Kilometer 54 arah timur,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 5:35 PM