GAMBAR tular menunjukkan lembu dilepaskan berkeliaran yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR tular menunjukkan lembu dilepaskan berkeliaran yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim

PULUHAN lembu yang dilepaskan berkeliaran berdekatan jalan raya di laluan Gua Musang menuju ke Kuala Krai mengundang bahaya kepada orang ramai pulang ke kampung.

Lembu yang dilepaskan berkeliaran itu dikesan di laluan membabitkan jalan di Felda Chiku, Paloh di Gua Musang dan Manek Urai serta Pahi di Kuala Krai.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemilik lembu itu, pengguna jalan raya mendakwa sudah beberapa kali berlaku kemalangan apabila kenderaan melanggar lembu yang melintas secara tiba-tiba.

Penduduk, Kamal Jalil, 45, berkata, penternak lembu tidak sepatutnya melepaskan ternakan mereka di jalan raya yang boleh mengundang kemalangan.

Katanya, ketika ini jalan sedang sibuk dengan perjalanan perantau pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, tetapi mereka berdepan dengan masalah lembu berada di tengah jalan.

“Walaupun pengguna sudah berhati-hati ketika melalui jalan itu, namun lembu yang berkeliaran akan melintas secara tiba-tiba yang mengundang bahaya.

“Kadang-kadang kenderaan tidak sempat menarik brek dan terus melanggar lembu terbabit,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

LEMBU dilepaskan berkeliaran yang memasuki laluan jalan raya. FOTO Ihsan Pembaca
LEMBU dilepaskan berkeliaran yang memasuki laluan jalan raya. FOTO Ihsan Pembaca

Salleh Daud, 53, berkata, jika berlaku kemalangan menyebabkan jalan itu bertambah sesak dengan kenderaan.

Katanya, pengguna juga menanggung risiko kerana bukan sahaja kereta yang rosak teruk, tetapi juga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

“Penternak juga menanggung kerugian apabila lembu mereka mati selepas dilanggar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 11:32 AM