ORANG ramai membeli ikan segar di pasar ikan Beserah. FOTO Mohd Rafi Mamat
ORANG ramai membeli ikan segar di pasar ikan Beserah. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang memberi jaminan bekalan semua jenis ikan di negeri ini mencukupi bagi menampung permintaan pengguna sempena Aidilfitri nanti.

Pengarahnya, Rashima Baharuddin berkata, pengguna tidak perlu bimbang kerana kemasukan ikan di jeti pendaratan masih lagi berlaku setiap hari.

Katanya, sekiranya berlaku pengurangan bekalan ikan segar namun pengguna masih boleh menggunakan ikan sejuk beku atau Q-Fish yang tetap berkualiti sebagai alternatif sekiranya terpaksa.

“Pada musim perayaan kali ini kerajaan mengambil keputusan menyekat pengeksportan empat jenis ikan iaitu kembung, selar, pelaling dan selayang bermula 1 Mei lalu hingga 30 Jun ini.

“Pelaksanaan sekatan eksport spesies ikan terpilih setiap kali musim perayaan dilakukan bagi mengimbangi bekalan makanan itu di pasaran tempatan yang bertambah setiap kali Aidilfitri,” katanya ketika melakukan tinjauan di Pasar Nelayan Pantai Sepat, Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, LKIM menggalakkan orang ramai memilih ikan Q-Fish yang dijual pada harga lebih rendah serta segar dan memuaskan.

Rashima berkata, harga ikan Q-Fish antara 20 hingga 50 peratus lebih rendah, selain bekalannya masih mencukupi untuk diedarkan ke lokasi diperlukan.

Katanya, ikan Q-Fish yang dipasarkan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dijamin dari segi kualiti dan kesegarannya, rasanya masih dapat dikekalkan walaupun disimpan lama.

“Bekalan ikan Q-Fish boleh diperoleh di pasar raya dan pengedar tertentu di seluruh negeri.

“Di daerah ini contohnya ada dijual di beberapa pasar raya terkemuka seperti Tunas Manja dan Serambi Teruntum, Persatuan Nelayan Negeri juga kini menjadi pembekal utama ikan Q-Fish kepada koperasi,” katanya.

Tamat

From: Azim fitri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 12:21 PM