KEADAAN kereta yang melanggar garaj rumah Saliza. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN kereta yang melanggar garaj rumah Saliza. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


“MUJUR saya dan tiga ahli keluarga masuk ke dalam rumah selepas memotong kulit lembu. Jika tidak, kami mungkin turut ‘disapu’ kereta itu,” kata Saliza Mohammad, 32.

Wanita itu terselamat selepas kereta dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun melanggar garaj kereta rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Haji Atan, Kampung Sekendi, Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, garaj berkenaan hampir roboh berikutan dua tiang penahan patah, manakala tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut terjejas akibat pelanggaran itu.

Difahamkan, ketika kejadian kesemua mereka sedang memotong kulit lembu dalam garaj itu dan masuk ke rumah untuk persiapan bersahur.

Saliza berkata, dia yang sedang membasuh tangan di dapur terkejut sebaik mendengar bunyi dentuman kuat dari luar rumahnya.

“Saya bergegas keluar dan tergamam melihat garaj yang menjadi tempat kami memotong kulit lembu hampir roboh.

“Malah, pelanggaran itu menyebabkan kaca dari kereta bertaburan di kawasan sekitar dan mengenai kulit lembu yang sudah siap dipotong,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, kulit lembu itu sepatutnya dihantar ke rumah peniaga di Kampung Sungai Pulai, di sini, untuk diproses pada hari kejadian.

Katanya, dia reda dan bersyukur tiada yang cedera dalam kejadian itu meskipun terpaksa menanggung kerugian hampir RM 4,000 untuk kos membaiki semula garaj kereta berkenaan.

“Saya berharap pihak berwajib memandang serius berkaitan kejadian ini.

“Jujur saya katakan kebanyakan pemandu atau penunggang motosikal yang melalui kawasan ini memandu secara berbahaya dan tidak memikirkan keselamatan penduduk.

“Selain itu, kawasan ini tidak mempunyai lampu jalan mencukupi. Ia memberi ‘peluang’ kepada pemandu atau penunggang memecut kenderaan sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, nasib menimpa Saliza sekeluarga mendapat perhatian dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Rizam Ismail yang tampil menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 2:39 PM