PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Azman Ismail (dua, kanan) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Mohd Asri Tuan Hussein (kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima sempena Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai, Baling. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Azman Ismail (dua, kanan) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Mohd Asri Tuan Hussein (kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima sempena Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai, Baling. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Safuri Kamarudin


PEMILIHAN Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai untuk program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) adalah tepat dan mencapai sasaran bagi membantu keluarga yang tidak bernasib baik.

Pengarang Eksekutif Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit berkata, ramai keluarga di kampung itu bergantung hidup dengan menoreh getah dengan pendapatan tidak tetap.

Beliau berkata, ibu bapa ke kebun untuk mencari rezeki, manakala anak-anak muda keluar bekerja kilang sekitar Kulim dan Perai, Pulau Pinang.

“Ibu bapa kebanyakan menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka untuk menyara keluarga termasuk persekolahan anak.

“Bagi anak muda pula mereka tertumpu di kilang-kilang untuk mencari rezeki membantu keluarga kerana tidak ada peluang pekerjaan di kawasan kampung, ” katanya.

Husain berkata, pemilihan kampung itu memang tepat dan sampai sasaran untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik.

“Kita membuat tinjauan dua kali dan bermesyuarat dengan imam masjid serta ahli jawatankuasanya supaya program ini menepati hasrat murni.

“Mereka bertanggungjawab memilih anak-anak yatim dan miskin, ibu tunggal serta keluarga susah untuk dibantu, ” katanya.

Penduduk, Mohamad Zuki Awang, 45, berkata, mereka berpakat dan memberi kerjasama menjayakan program kebajikan yang julung kali diadakan pada bulan puasa ini.

Katanya, semua penduduk mendapat manfaat daripada hasil kerjasama yang baik meskipun kampung ini jauh di pedalaman dan tertinggal dalam arus pembangunan.

“Kita bersyukur sekurang-kurangnya ada pihak yang sudi berkunjung dan membantu penduduk di sini.

“Bukan mudah orang luar nak datang membantu tetapi kita berterima kasih kepada HM dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana sumbangan yang diberikan, ” katanya.

Mohamad Zuki juga berterima kasih kepada lebih 100 sukarelawan daripada HM dan PLUS yang bertungkus lumus membantu penyediaan makanan dan menyusun atur majlis dengan jayanya sehingga tamat.

Program ini disokong oleh Dapur Peringat, BERNAS, TESCO Malaysia, Honda Malaysia, Dutch Lady dan Koperasi Hijrah Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:32 AM