Suami isteri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yan selepas mendapat perintah reman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Suami isteri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yan selepas mendapat perintah reman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SUAMI isteri yang disyaki terbabit mendera anak mereka sehingga menyebabkan kematian direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Kedua-duanya iaitu bapa tiri dan ibu kandung mangsa berusia 28 dan 23 tahun itu dibawa menaiki van tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Yan pada 10 pagi dengan diiringi anggota dan pegawai polis.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Yan, Nurul Rashidah Mohd Akit pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mereka direman hari ini sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine.

“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui meninggal dunia dipercayai didera dengan mengalami kecederaan dalaman dan dipukul objek tumpul oleh bapa tiri mangsa.

Mayat Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul, 2, ditemui terbaring di atas lantai bahagian dapur rumahnya di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak dan tidak sedarkan diri.

Bapa tiri mangsa kemudian membawa mangsa ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Bapa tiri mangsa kemudian membuat laporan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati, kematian mangsa disebabkan kecederaan daya tumpul pada bahagian abdomen.

Berita berkaitan

Kanak-kanak dua tahun didera hingga mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:08 PM