GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib

KUANTAN:

KIRA-KIRA 37,500 pemilik akaun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Temerloh berdepan masalah gangguan bekalan air selama 12 jam bermula 11 malam esok.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat PAIP, Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, gangguan terbabit ekoran kerja penyelenggaraan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyebabkan gangguan bekalan elektrik di muka sauk di Loji Rawatan Air Lubuk Kawah.

Kawasan yang terjejas membabitkan keseluruhan Bandar Temerloh sehingga Bukit Angin, keseluruhan Bandar Mentakab, sepanjang Jalan Karak sehingga Pekan Lanchang dan Kampung Sempadan, sepanjang Jalan Temerloh –Jerantut serta Kampung Desa Murni dan keseluruhan Jalan Lubuk Kawah-Kampung Bangau.

“Selain itu, sepanjang jalan ke Kampung Belenggu termasuk Kampung Paya Ara, Kampung Bintang dan kawasan sekitar, sepanjang Jalan Temerloh-Bera sehingga Kampung Tanjong Belenggu serta kawasan berdekatan turut akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di Kuanta, hari ini.

Beliau mengingatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan bekalan itu berlaku.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-5739999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:19 PM