Zatul Iffah Zolkiply


“SAYA dan ahli keluarga lain tidak sanggup menceritakan keadaan sebenar mengenangkan keadaannya sedang menanggung kesakitan,” kata Hufaizal Hussin, 37, sepupu kepada Anuar Said, 59, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, pagi tadi.

Hufaizal, 37, berkata, anak arwah, Nurul Nadirah, 14, cedera di muka dan kaki sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya hanya minta dia makan ubat dan cepat sihat kerana keadaannya agak teruk dengan kecederaan di muka dan patah peha kanan serta kiri.

“Saya hanya minta dia tidak terlalu memikirkan keadaan ibu bapanya kerana bimbang akan memberi kesan kepada kesihatannya,” katanya.

Dalam kemalangan jam 9.20 pagi itu, Anuar yang memandu Peugeot dan isteri, Kasliza@Che Kasliza Che Husin, 53, maut.

Turut meninggal dunia, pemandu dan penumpang Proton Wira Aeroback, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, dan isterinya, Siti Nur Shahila Asla, 26.

Hufaizal berkata, dia bergegas ke HSNZ dari Jertih selepas dimaklumkan kejadian menimpa tiga beranak itu.

“Sebelum ini, saya tahu ada kemalangan di kawasan itu melalui Facebook namun tidak sangka ia membabitkan ahli keluarga sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia sempat berjumpa anak saudaranya itu yang mesra dipanggil adik di wad.

Hufaizal berkata, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Dungun ke Besut menziarahi sepupunya yang meninggal dunia malam tadi.

“Semalam arwah Anuar ada menghubungi saya jam 1.08 pagi, mungkin untuk memaklumkan kematian sepupu tetapi saya tidak menjawab panggilan itu kerana tidur sehinggalah terlihat berita kemalangan di Facebook,” katanya.

Dia berkata, pasangan itu mempunyai tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun.

Jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Jeti, Dungun.

Berita berkaitan

Beli baju raya untuk keluarga sebelum ajal

[UPDATE] Wanita hamil 5 bulan antara yang maut

4 maut, 1 cedera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:29 PM