Amirul Aiman Hamsuddin


PERJALANAN Penolong Pegawai Perpustakaan Daerah Sabak Bernam ke tempat kerja berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar tiang telefon di Jalan Semenanjung Bernam Dua, di Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Harun Mohamad, 57, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y100 bersendirian itu dari arah Sungai Haji Dorani menuju ke Sungai Tengar.

“Tiba di lokasi itu, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan lalu melanggar tiang telefon yang berada di bahu jalan arah sama.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa bersama motosikal miliknya terperosok di rimbunan pokok pisang,” katanya kepada Harian Metro.

Chee Khoon berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:33 PM