CHONG ditemui orang awam dalam keadaan selamat dalam perigi di kawasan kebun sawit di Batu 6 Lekir, Sitiawan. FOTO Ihsan Dap Sitiawan
CHONG ditemui orang awam dalam keadaan selamat dalam perigi di kawasan kebun sawit di Batu 6 Lekir, Sitiawan. FOTO Ihsan Dap Sitiawan
Noor Hidayah Tanzizi


WARGA emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menoreh getah di Kampung Koh di Sitiawan, sejak kelmarin ditemui selamat, malam tadi.

Chong Eng Koon, 70, ditemui orang awam dalam keadaan selamat dalam perigi di kawasan kebun sawit di Batu 6 Lekir, Sitiawan, pada 9.40 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, mangsa dipercayai terjatuh dalam perigi berlumpur yang berkedalaman empat meter.

Menurutnya, bomba dimaklumkan orang awam mengenai penemuan motosikal mangsa di kawasan berkenaan sebelum gerakan mencarinya dijalankan.

“Anggota bomba menggunakan tangga dan tali untuk membawa mangsa keluar dari perigi itu.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan, namun lemah dan kemudian diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya 10.40 malam tadi.

Warga emas berkenaan tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas keluar menoreh dengan menunggang motosikal sebelum kehilangannya itu dimaklumkan kepada polis dan bomba.

Pasukan bomba menjalankan gerakan mencari lelaki berkenaan sejak pagi semalam bersama polis, ahli keluarga serta Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebaik menerima maklumat itu pada 11.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 12:39 AM