Mohd Azam Shah Yaacob


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara.

Sumber SPRM berkata, CEO bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima wang suapan membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan itu bernilai lebih RM17 juta.

Katanya, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Khamis ini selepas SPRM mengemukakan permohonan berbuat demikian di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“CEO lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya 10 malam tadi.

“Wanita berusia 53 tahun menjawat jawatan CFO itu pula ditahan 11.50 malam tadi di lokasi sama ketika hadir memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, SPRM turut menyita wang tunai RM100,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan.

“Selain dua suspek itu, SPRM turut memanggil beberapa saksi hari ini bagi dirakam keterangan.

“Mungkin selepas ini lebih ramai saksi dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:20 PM