AZMAN (duduk, enam kanan) dan Tuan Mohd Asri  (duduk, tujuh kanan) bergambar bersama anak yatim dan asnaf sempena Program TKHM bersama PLUS di Surau Tinggi Kampung Balun. FOTO Rosman Shamsudin
AZMAN (duduk, enam kanan) dan Tuan Mohd Asri (duduk, tujuh kanan) bergambar bersama anak yatim dan asnaf sempena Program TKHM bersama PLUS di Surau Tinggi Kampung Balun. FOTO Rosman Shamsudin
Muhammad Apendy Issahak


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sentiasa menitikberatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, bantuan yang disampaikan bukan saja meringankan beban tetapi perlu dirasai atau memberi kesan kepada masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menepati apa yang ingin dilaksanakan PLUS dalam mendekati orang ramai dengan strategi memberi fokus lebih khusus kepada mereka yang tinggal berhampiran jajaran lebuh raya.

“Bila kita mahu membantu masyarakat, kita hendaklah bantu sehingga mereka rasa gembira dan sejahtera dengan apa yang kita berikan.

“Inilah caranya dan saya berterima kasih kepada Harian Metro (HM) kerana bekerjasama dengan PLUS, sanggup mencari masyarakat kurang bernasib baik untuk kita beri bantuan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui di program TKHM bersama PLUS di Kampung Balun, Slim River.

Turut memeriahkan program berkenaan Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein; Pengarang Eksekutif Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit; Ketua Bahagian Sumber Manusia PLUS, Norma Mohd Razalli; Ketua Bahagian Korporat Komuniti dan Perhubungan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid serta sukarelawan PLUS dan HM selain 600 penduduk Kampung Balun yang diraikan.

Azman berkata, bagi program TKHM, pihak PLUS memperuntukkan sebanyak RM440,000 membabitkan RM140,000 untuk menjayakan TKHM dan RM300,000 lagi daripada Tabung Zakat Syarikat PLUS yang turut diagihkan melalui program ini.

“Apa yang membanggakan saya ialah sukarelawan termasuk warga PLUS yang menyambut baik dan menyertai serta menjayakan program ini.

“Bagi menjayakan program sebegini terutama menyediakan juadah berbuka puasa secara gotong-royong ia memerlukan ramai tenaga kerja dan saya ucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang turut serta,” katanya yang turut bantu memasak juadah berbuka puasa termasuk bubur lambuk.

Azman berkata, dua minggu lagi program sama akan diadakan di Baling, Kedah pula untuk sama-sama memakmurkan golongan kurang bernasib baik di kawasan berkenaan.

“Kita akan teruskan seperti apa yang dilakukan di Kampung Balun iaitu memberi bantuan kepada masyarakat yang perlukan pertolongan mendesak dan terpencil kerana di Malaysia memang masih ada masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Saya harap apabila kita buat program kedua nanti (di Baling), kita akan terus cari kumpulan masyarakat yang memerlukan pertolongan dan kita akan beri bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:29 PM