AZMAN (dua kanan) menyampaikan zakat berjumlah RM5,000 kepada Hassan Basri (dua kiri) disaksikan Tuan Mohd Asri (kiri) dan Husin pada Program TKHM di Kampung Balun. FOTO Rosman Shamsudin
AZMAN (dua kanan) menyampaikan zakat berjumlah RM5,000 kepada Hassan Basri (dua kiri) disaksikan Tuan Mohd Asri (kiri) dan Husin pada Program TKHM di Kampung Balun. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberikan kesan bukan saja kepada golongan sasaran namun kepada seluruh penduduk Kampung Balun, Slim River.

Buktinya, wang zakat sebanyak RM5,000 yang disumbangkan PLUS kepada Masjid Kampung Balun sudah pasti dinikmati seluruh penduduk kampung melalui program yang bakal dilaksanakan pihak masjid.

Penyerahan wang zakat disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail disaksikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein dan Pengarang Eksekutif Komersial HM, Husin Jahit kepada Pengerusi Masjid, Hassan Basri Lassa, 62, hari ini.

Timbalan Pengerusi Masjid, Mohd Ashid Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelaksana TKHM berkata, impak program itu memang dirasai keseluruhan penduduk bukan saja kepada golongan sasaran.

Menurutnya, dia dan seluruh penduduk kampung berterima kasih kepada pihak penganjur terutama PLUS yang menyumbangkan wang zakat kepada masjid kampung berkenaan.

"Saya tidak menyangka menerima sumbangan zakat kerana sebelum ini dalam mesyuarat hanya memberikan fokus kepada golongan sasaran iaitu, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

"Pemberian wang zakat ini akan dimanfaat sepenuhnya untuk melaksanakan program keagamaan dan kemasyarakatan yang dirancang oleh masjid," katanya.

Mohd Ashid berkata, program TKHM bersama PLUS juga mengeratkan hubungan sesama penduduk dan masyarakat luar khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke kampung berkenaan.

Katanya, dia dan penduduk kampung memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang program berlangsung dan mengalu-alukan sekiranya Harian Metro dan PLUS ingin menjalankan lagi program di kampung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 12:42 PM