Bot kargo membawa baja udang ditahan Maritim Malaysia di barat daya Teluk Weston, Sipitang kerana tiada dokumen sah. FOTO Matirim Malaysia.
Bot kargo membawa baja udang ditahan Maritim Malaysia di barat daya Teluk Weston, Sipitang kerana tiada dokumen sah. FOTO Matirim Malaysia.
Fardy Bungga

SEBUAH bot kargo tanpa dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di 6.6 batu nautika barat daya Teluk Weston, Sipitang, semalam.

Bot membawa 260 guni baja udang itu dikesan mencurigakan kira-kira 11 pagi oleh kapal ronda Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Che Adnan Md Isa berkata, bot yang dikenali sebagai Padas Nabaha itu dihampiri untuk pemeriksaan dan mendapati ia dikendalikan seorang tekong dan kru warga asing tanpa dokumen yang sah.

“Tekong dan kru yang berasal dari Filipina itu melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak dokumen dan memiliki pasport tamat tempoh.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen dan tekong bot juga tidak mempunyai sijil kompetensi (COC) untuk mengendalikan bot,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Che Adnan berkata, bot berkenaan ditahan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Tekong dan kru mengaku bot kargo berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar bekalan baja udang dan air bersih dari Sipitang ke kolam ternakan udang di kawasan perairan Teluk Weston, Sipitang.

“Bot dan kedua-dua individu itu dibawa ke jeti Maritim Labuan untuk membantu siasatan lanjut.” katanya.

Che Adnan berkata, pihaknya memandang serius keselamatan perairan Labuan dan menyarankan orang ramai supaya bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah.

Katanya, warga maritim juga digesa melaporkan sebarang kejadian kecemasan di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk bantuan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:34 AM