MESIN ATM yang terbakar. FOTO ihsan bomba
MESIN ATM yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana


DUA unit mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rosak dalam kebakaran di sebuah bank di Jalan Sadong Jaya, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.42 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran membabitkan dua unit mesin ATM yang 20 peratus terbakar,” katanya di sini.

Menurutnya, pasukan bomba melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kebakaran bagi memastikan tiada sebarang bahaya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu.

“Siasatan masih dijalankan dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:08 AM