Lima nelayan warga Vietnam ditahan di perairan Pulau Sibogor, Pulau Banggi, Kudat semalam. FOTO Ihsan APMM
Lima nelayan warga Vietnam ditahan di perairan Pulau Sibogor, Pulau Banggi, Kudat semalam. FOTO Ihsan APMM
Norasikin Daineh


SEBANYAK 800 kilogram (kg) gamat dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipercayai hasil tangkapan sekumpulan nelayan Vietnam di perairan Pulau Sibogor, Pulau Banggi, Kudat semalam.

Dalam operasi 10 pagi itu, lima nelayan asing berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan selepas didapati mengambil hasil laut secara haram di perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, ketika anggotanya melakukan rondaan di kawasan perairan itu, sebuah bot dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati, bot bukan berdaftar dalam negara dan dikendalikan lima nelayan warga Vietnam yang tiada dokumen pengenalan diri sah.

“Pemeriksaan lanjut menemui 800 kg gamat dalam bot dan kita dapati bot itu tidak mempunyai pukat sebaliknya terdapat sejenis alat seperti penggembur tanah bagi menangguk gamat,” katanya hari ini.

Katanya, bot dan gamat dirampas manakala semua nelayan ditahan serta dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk tindakan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan RM355,000 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di perairan Malaysia secara haram serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, kawasan perairan negara memang terdapat banyak gamat dan kaedah yang digunakan nelayan untuk mengambil gamat adalah dilarang.

“Kaedah yang digunakan adalah dilarang kerana ia memberi kesan jangka masa panjang pada sistem ekologi dan biodiversiti marin.

“Penggunaan tangguk besi boleh merosakkan batu karang yang juga habitat bagi hidupan marin dan ada sesetengah batu karang memerlukan masa ratusan tahun untuk membesar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:24 PM