Kejadian pemandu lori dipukul majikan kerana disyaki mencuri diesel di Telok Gong, Pandamaran, Klang. FOTO tular.
Kejadian pemandu lori dipukul majikan kerana disyaki mencuri diesel di Telok Gong, Pandamaran, Klang. FOTO tular.
Iskandar Shah Mohamed

POLIS menyiasat siasatan kes tiga pemandu lori dipukul majikan kerana disyaki mencuri diesel dalam kejadian di sebuah syarikat pembinaan di Telok Gong, Pandamaran, Klang, kelmarin.

Difahamkan, ia turut mengakibatkan sebuah lori di premis berkenaan dibakar semalam.

Kejadian itu tular menerusi rakaman video yang memaparkan tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an berkenaan dipukul dengan kayu dan rotan sekumpulan individu termasuk majikan mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kes berkenaan petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di dalam bilik stor syarikat berkenaan pada pagi Rabu dipercayai membabitkan tiga pekerja dipukul lapan lelaki termasuk majikan mereka.

“Susulan kejadian itu, seorang lelaki memasuki kawasan premis berkenaan dan membakar sebuah lori pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, seramai lapan lelaki berusia 23 hingga 36 tahun sudah ditahan pihaknya bagi membantu siasatan.

“Usaha mengesan suspek lain masih sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 435 akta sama kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.

Kata Shamsul Amar, kes itu tidak membabitkan sebarang isu perkauman.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang bertindak di luar batasan undang-undang,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.36 petang semalam.

“Setibanya di lokasi, sebuah lori pasir didapati terbakar sebanyak 80 peratus.

“Sebuah tong dipercayai berisi petrol turut ditemui dan kes dipercayai akibat perbuatan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 10:51 AM