Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Setiausaha KWAP Azlida Mazni hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, hari ini.
Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Setiausaha KWAP Azlida Mazni hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, hari ini.
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan proses kelulusan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Saksi pendakwaan ke-35, Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP Azlida Mazni Arshad, 47, berkata, beliau dimaklumkan perkara itu dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi KWAP Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah.

Menurutnya, beliau turut berperanan mengambil minit mesyuarat berkenaan.

“Saya sahkan bahawa CEO (Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Azian Mohd Noh) juga ada maklumkan dalam mesyuarat bahawa PM (Perdana Menteri) sudah maklumkan Pengerusi KWAP untuk percepatkan proses kelulusan pinjaman ini dan pinjaman RM2 bilion sudah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksi bertulis ketika memberikan keterangan pada hari ke-16 prosiding kes Najib yang berdepan tujuh tuduhan berhubung dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KWAP meluluskan pinjaman pertama kepada SRC International berjumlah RM2 bilion pada 2011 sebelum meluluskan pinjaman dengan jumlah sama pada 2012.

Azlida Mazni berkata, menerusi mesyuarat sama, Jabatan Pendapatan Tetap KWAP juga membentangkan kertas cadangan di mana syarat dan terma pinjaman SRC diperketatkan dengan beberapa syarat tambahan.

Beliau berkata, ia termasuk SRC perlu mendapatkan jaminan daripada Kerajaan Malaysia dan mendapatkan jaminan korporat daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) serta mengemukakan surat `letter of comfort awareness’ daripada Kementerian Kewangan.

“Syarat khas juga supaya tiada pertukaran struktur milikan SRC dan syarikat tersebut diletakkan dalam milikan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan),” katanya.

Saksi sama berkata, selepas kertas cadangan itu dipertimbangkan, Panel Pelaburan Khas berpendapat bahawa pinjaman RM2 bilion adalah terlalu besar bagi sebuah syarikat yang bermodal berbayar RM2 sahaja.

“Oleh itu, ahli panel bersetuju untuk memberikan pinjaman hanya RM1 bilion seperti dalam kertas cadangan asal yang dibincangkan dalam Mesyuarat Panel Pelaburan pada 5 Julai 2011,” katanya.

Selain itu, ahli panel bersetuju untuk mempertimbangkan sekiranya pinjaman diberikan secara terus kepada 1MDB yang dimiliki penuh oleh MKD dan bukan kepada SRC.

Menurutnya, ia memandangkan 1MDB mempunyai pengurusan kewangan, disiplin dan tadbir urus yang dikawal selia oleh MKD.

Beliau berkata, ahli panel juga peka terhadap risiko berkaitan pelaburan SRC terutamanya risiko pembayaran, risiko `overconcentration’, risiko negara dan risiko industri.

Menurutnya, ahli panel mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan pihak pengurusan SRC dalam pelaburan sumber asli yang memerlukan kepakaran tinggi.

“Ahli panel berpendapat peruntukan pinjaman tidak perlu dikeluarkan secara `lump sum’ (sekali gus) sebaliknya harus dibuat secara berperingkat dan disertakan dengan dokumen keterangan,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, mesyuarat kemudiannya bersetuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada 1MDB selepas mengambil kira pandangan ahli panel pada 23 Ogos 2011.

“Ia berdasarkan sokongan KWAP terhadap Inisiatif Strategik Kerajaan dengan syarat jaminan daripada KWAP adalah kepada 1MDB dan bersandarkan Jaminan Kerajaan atau KWAP memberikan pinjaman terus kepada Kerajaan Malaysia sebagai peminjam dan seterusnya kerajaan memberikan pinjaman kepada 1MDB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 9:04 PM