BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 bagi perbicaraan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 bagi perbicaraan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


GELAGAT bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merakam gambar di dalam mahkamah ketika perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menarik perhatian media.

Najib yang berada di dalam kandang tertuduh sepanjang perbicaraan, dilihat bermain-main dengan telefon pintarnya ketika saksi pendakwaan ke-30 sedang memberi keterangan.

Keadaan itu tidak disedari oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang ketika itu sedang mendengar percakapan peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah.

Najib dilihat menghidupkan kamera pandang depannya seolah-olah mahu merakam swafotonya.

Beliau juga dilihat merendahkan telefon bimbitnya sambil melihat paparan pada skrin.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada paparan gambar dimuat naik di mana-mana akaun sosial media miliknya.

Berdasarkan Peraturan Mahkamah Terbuka, sebarang rakaman sama ada dalam bentuk audio atau visual adalah tidak dibenarkan.

Pada 22 April lalu, Hakim Mohd Nazlan ada melarang sebarang bentuk rakaman dibuat dan dikongsi untuk tatapan umum membabitkan kes itu.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas tindakan bekas Pegawai Khas Najib, Isham Jalil memuat naik rakaman video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraan Datuk Seri Najib yang memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:35 PM