Pegawai polis melihat mayat mangsa di lokasi kejadian Sungai Putat, Melaka. (Gambar kecil) Muhammad Hasani. Foto Ihsan PDRM
Pegawai polis melihat mayat mangsa di lokasi kejadian Sungai Putat, Melaka. (Gambar kecil) Muhammad Hasani. Foto Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin


PENGHANTAR perkhidmatan penghantaran makanan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Putat di Melaka, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Hasani Mohd Razip, 28, menunggang motosikal Honda EX5 milik bapanya membawa kotak makanan dalam perjalanan untuk melakukan penghantaran makanan dari Batu Berendam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Batu Berendam berada di laluan bertentangan.

Menurutnya, ketika itu MPV Toyota Vellfire yang dipandu wanita berusia 44 tahun menuju ke arah Batu Berendam sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu MPV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Afzanizar berkata, mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat, manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, setakat ini belum ada saksi bebas tampil membantu siasatan dan pihaknya sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 9:27 PM