GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


PERBINCANGAN hal keluarga bertukar kecoh apabila lelaki parah ditikam di kepala dan belakang badan oleh rakannya di Kampung Pagar Hitam, Jalan Masak, di Keningau, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa dan suspek yang menyewa bilik di rumah berkenaan sedang duduk di meja dalam bilik suspek manakala penyewa lain keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika itu, mereka sedang membincangkan hal keluarga dan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum tercetus pertengkaran mulut.

“Tiba-tiba suspek terus mengambil pisau di dapur lalu melibas ke arah mangsa dan berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian menikam di bahagian belakang dan kepala selain kedua-dua tangan mangsa luka.

“Melihat keadaan mangsa yang terbaring dengan dipenuhi darah, suspek terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa meminta bantuan sebelum beberapa jiran berdekatan datang membawa mangsa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa berusia 36 tahun stabil dan di hantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQR 1) Kota Kinabalu untuk rawatan pemerhatian lanjut.

“Usaha mengesan suspek berusia 50 tahun sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:46 AM