Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hairulazim Mahmud


SISTEM Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) tidak akan menyelesaikan masalah trafik antara Johor Bahru dan Singapura, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, jika projek itu diteruskan ia tidak dapat menampung jumlah penumpang dari Singapura atau ke republik itu.

Ditanya sama ada beliau berpendapat demikian berikutan sebidang tanah di Bukit Chagar sudah dimiliki oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Tun berkata:

“Saya tak fikir Tuanku nak rampas tanah milik Kerajaan Persekutuan, kita kena buat tuntutan untuk tunjukkan itu kita punya.

“Kita akan tuntut balik tanah berkenaan tetapi mestilah melalui proses yang betul.

“Jika tanah itu sudah dibeli oleh pihak tertentu maka kerajaan akan membeli semula tanah itu.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tun mengulas mengenai laporan portal berita berkaitan pemilikan sebidang tanah itu oleh Sultan Johor selepas pencarian mendapati sebidang tanah di Bukit Chagar, yang sepatutnya milik Kerajaan Persekutuan sudah ditukar milik.

Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik ini pada 28 Januari lalu.

Tanah berkenaan adalah salah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh kerajaan negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Namun tidak diketahui bagaimana pemilikan tanah seluas 4.5 hektar itu sudah bertukar pada geran.

Putrajaya memerlukan RM495 juta jika mahu membeli semula tanah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:20 PM