MOHD Suhaimi Ahmad menunjukkan keadaan rumahnya yang terbakar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
MOHD Suhaimi Ahmad menunjukkan keadaan rumahnya yang terbakar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TINDAKAN seorang pemuda membakar helaian surat khabar untuk menghalau ular di bawah katil dalam bilik tidur menyebabkan kediaman keluarganya di Kampung Chemunar Tengah, Arau, musnah terbakar 10 malam tadi.

Mangsa kebakaran, Mohd Suhaimi Ahmad, 49, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri keluar untuk ke sebuah pasar raya berhampiran meninggalkan anak lelaki berusia awal 30-an di rumah.

Mohd Suhaimi, memberitahu anak lelakinya yang sedang berada di dalam bilik tidur tiba-tiba melihat seekor ular menjalar di bawah katilnya.

“Dia menyalakan api pada beberapa helaian surat khabar dalam usaha menghalau ular berkenaan yang dipercayai bersembunyi di bawah katil.

“Tiba-tiba api menyambar tilam dan terbakar lalu merebak ke seluruh rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan penduduk lalu bergegas pulang dari pasar raya berkenaan.

“Ketika sampai di rumah, semuanya sudah musnah, pakaian pun tak ada sekarang kami tinggal sehelai sepinggang.

“Selain rumah, turut musnah sebuah kereta Honda Civic keluaran 1990, dua motosikal dan semua kelengkapan lain.

“Buat sementara waktu kami berteduh di rumah saya yang masih dalam pembinaan. Kebakaran menyebabkan saya mengalami kerugian lebih RM100,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kangar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 malam.

“Seramai 12 anggota dan empat jentera dikejarkan ke lokasi. Kebakaran berjaya dikawal selepas dua jam iaitu pada jam 12.20 minit tengah malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:21 PM