HARGA barang keperluan harian di ibu negara masih stabil menjelang Ramadan. FOTO NSTP
HARGA barang keperluan harian di ibu negara masih stabil menjelang Ramadan. FOTO NSTP
Mohd Rizal Abdullah

[email protected].

HARGA ayam, daging dan barang keperluan lain masih stabil dan tiada peningkatan mendadak menjelang Ramadan ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya di ibu negara mendapati ayam standard dijual antara RM5.99 sehingga RM6.20 bagi sekilogram.

Daging tempatan pula dijual sekitar RM32 sekilogram, manakala daging import dijual RM20 sekilogram.

Barangan lain, cili padi dijual sekitar RM13.99 sehingga RM25 sekilogram, membabitkan cili tempatan dan import.

Harga telur sekitar RM12 bagi Gred A, RM10.39 bagi gred B dan RM10.00 bagi Gred C

Kebanyakan harga berkenaan juga selari dengan senarai harga purata peringkat runcit yang dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setakat semalam.

Senarai harga barang kawalan menjelang musim perayaan dijangka ditingkatkan, manakala tempoh penguatkuasaan juga dicadang dilanjutkan berbanding 15 hari sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, bagaimanapun, tempoh sebenar masih belum diputuskan.

Dalam pada itu, tinjauan di pasar raya sama juga mendapati orang ramai mula membeli barangan keperluan sempena Ramadan yang dijangka Ahad ini.

Pengunjung, Syarifah Abdullah, 35, berkata, tiada persiapan khusus yang dibuat dan ia sama seperti tahun terdahulu.

“Cuma saya lebihkan beli barangan basah sebagai langkah tidak lebih berbelanja ketika Ramadan sekali gus mengelak pembaziran.

“Bila dah ada barang basah, baru ada idea untuk memasak, sekiranya tidak, memang ke bazar Ramadan sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:38 PM