Dr Siti Hasmah bersama Erma ketika merasmikan Rumah Budaya di Menara Kuala Lumpur. Foto Nurul Syazana Rose Razman
Dr Siti Hasmah bersama Erma ketika merasmikan Rumah Budaya di Menara Kuala Lumpur. Foto Nurul Syazana Rose Razman
BERNAMA

RUMAH Budaya atau Culture House kini menjadi tarikan terbaru bagi pengunjung Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang berminat mengenali dengan lebih dekat budaya serta warisan pelbagai kaum di Malaysia menerusi pakaian dan busana yang dipamerkan.

Diasaskan oleh penerbit, pengarah dan pelakon Erma Fatima, Rumah Budaya dibuka kepada pengunjung sejak kira-kira sebulan lalu dan kini ia mempunyai lebih 100 pasang pakaian tradisional pelbagai etnik dan kaum dalam negara.

"Saya mendapat inspirasi untuk membuka Rumah Budaya ini selepas melihat pakaian tradisional Jepun dan Korea yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong yang berkunjung ke negara mereka.

"Kenapa tidak kita angkat pakaian tradisional kita di mata pelancong dari luar bagi mengenali budaya Malaysia," katanya kepada media selepas majlis perasmian premis itu yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.

Erma Fatima yang turut dikenali sebagai Mak Cun berkata, pihaknya menyediakan pakej tertentu kepada pengunjung yang berhasrat untuk memakai busana dan mengambil gambar sebagai kenangan di sekitar kawasan Menara KL.

“Kita juga sedang merancang untuk menyediakan pakej aktiviti kebudayaan seperti cara makan orang tempatan, permainan tradisional dan tarian sebagai nilai tambah kepada pakej sedia ada," katanya.

Rumah Budaya itu juga, katanya, menjadi pusat sehenti untuk jualan produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) dan kraftangan oleh usahawan tempatan.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah dalam ucapannya menggalakkan wanita Malaysia yang bertugas di luar negara supaya memakai pakaian tradisional seperti baju kurung, baju kebaya atau baju batik untuk ke majlis rasmi.

"Bila kita pakai pakaian tradisi kita, lebih senang orang mengenali kita dan kita berasal dari negara mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 10:38 PM